SUARA ANAK PENAN
TAJUK: SUARA ANAK PENAN
"SAYA MAHU BERSEKOLAH, NAMUN SAYA TIDAK ADA IC"
Penulis: Anthony Tudak
Tarikh: 23 September 2021
Di abad ke 21 ini, manusia berlumba-lumba untuk mengejar kejayaan dan maju dalam pelbagai bidang. Semua orang ingin melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan untuk keluarga masing-masing. Saban hari kita dibanggakan dengan pelbagai kejayaan anak-anak bangsa, kita melihat tangisan terharu ibu bapa apabila anak-anak mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi ataupun memperolehi pekerjaan yang lebih baik.
Namun, janganlah kita lupa untuk melihat kebelakang, sebab ada segelintir dari masyarakat kita masih tertinggal, bahkan belum memulakan langkah pertama, untuk bersedia melangkah menghadapi kepesatan dan kemajuan dunia di abad ke-21 ini.
Baru-baru ini, saya berkesempatan bertemu dengan seorang kanak-kanak comel berbangsa Penan dari kampung Apau Nyaring, Tinjar. Beliau merupakan seorang kanak-kanak yang aktif namun pemalu orangnya. Kanak-kanak ini tinggal bersama bapanya seorang petani yang menanam ubi kayu sebagai makanan utama dan bergantung terhadap hasil sungai dan hutan untuk menampung kehidupan seharian. Ibarat kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang, begitulah kehidupan seharian mereka. Yang paling menyedihkan kanak-kanak ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Dipendekkan cerita, saya berkesempatan berbual dengan kedua-dua mereka dan berkongsi pelbagai cerita bersama mereka. Yang menyedihkan kanak-kanak ini merupaka bekas murid di sebuah Tadika Mission yang dikelolakan oleh Gereja Katolik di kampung Apau Nyaring, dia memberitahu kepada saya bahawa dia sudah tamat di Tadika tersebut dan sepatutnya menyambung pelajaran ke peringkat sekolah rendah. Namun permohonannya tidak berjaya disebabkan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan atas sebab-sebab lain juga. Dia meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat menyambung persekolahannya. Kami mengakhiri perbualan tersebut dengan saya berjanji untuk menulis cerita tentang dia untuk didengar oleh kita semua. Hari ini saya menunaikan janji tersebut.
Cerita diatas bukanlah rekaan, namun cerita sebenar yang saya dengar dengan telinga sendiri. Banyak lagi kes seumpama ini terjadi dalam masyarakat Penan khasnya dan masyarakat umum amnya. Tercicir dari sekolah, tidak dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan masalah dokumen pengenalan diri bukanlah perkara baru dalam masyarakat ini, ia sudah berlanjutan selama bertahun-tahun lamanya, generasi demi generasi. Kita akui kerajaan dan badan bukan kerajaan sudah cuba melakukan yang terbaik untuk mengatasi permasalahan ini, namun masih gagal sehingga hari ini. Kita tidak dapat menyalahkan atau menuding jari kepada mana-mana pihak.
Oleh itu, sebagai seorang warganegara dan anak peribumi negeri ini, saya ingin agar suara kanak-kanak ini didengar oleh segenap lapisan masyarakat, tangisan kanak-kanak ini dipedulikan oleh masyarakat dan juga pihak yang berwajib. Marilah kita cuba mencari cara untuk menyelesaikan permasalahan ini. Untuk itu saya mencadangkan kepada pihak berwajib agar membentuk badan khas untuk menangani permasalahan kaum Penan ini, membina sekolah di kampung-kampung Penan terutamanya di Ulu Tinjar, yang walaupun Negara ini sudah dibentuk selama 58 tahun, namun sebuah sekolah pun tidak dibina untuk anak-anak Penan di Ulu Tinjar, Baram. Sekian penulisan saya kali ini, semoga bermanfaat untuk bangsa & negara.
Comments
Post a Comment